Eraklasik.info, membahaskan mengenai agama, kesihatan, metafizik, herba, penyakit, tokoh, kisah, tips, sains, fakta etc

Malu Sebahagian Daripada Iman

Rasulullah lebih malu sifatnya dari seorang gadis. Dengan perasaan malu itu  dapat mencegah dirinya dari membuat perkara maksiat

 malu-dan-iman

 

Mereka akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh, maksiat dan malu untuk pergi ke tempat yang dilarang.

Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri, beliau berkata: “Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah, bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Malu adalah antara ajaran yang tidak luput hingga sekarang. Ia menunjukkan malu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama. “Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu” bukanlah kata-kata galakan kepada manusia untuk melakukan sesuka hati mereka.

Ia bermaksud ancaman buat manusia yang tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan. Maksud ayat itu juga adalah untuk memberitahu malu adalah perisai kepada diri seseorang.

Pernah diriwayatkan, terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat kepada sahabatnya mengenai sifat malu. Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu dalam banyak hal.

Kebetulan ketika itu Rasulullah sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua. Baginda berpesan, “Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman”.

Hadis riwayat Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.” (Sahih Muslim No.50)

Hadis riwayat Imran bin Husaini, beliau berkata: Nabi pernah bersabda: “Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.” (Sahih Muslim No.53)

Dalam masyarakat kita, ada anak yang berani meninggikan suara dan bersifat biadap terhadap ibu bapa mereka. Ia berlaku kerana hilangnya rasa malu dari dalam diri.

Begitu juga, pelajar hilang hormat kepada gurunya, lelaki melangkah ke tempat maksiat, perempuan  tidak sopan di khalayak ramai, pasangan bercinta berjumpa dan bercanda  di kawasan umum.

Pemimpin pula menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingannya sendiri dan melakukan kezaliman akibat hilangnya perasaan malu.

Ringkasnya, apabila rasa malu mula sedikit demi sedikit hilang dari seseorang, maka terbukalah pintu kejahatan dan fitnah bakal bermaharajalela.

Sebab itu, sifat malu penting untuk dipelihara dan dijaga. Jangan terpengaruh dengan sistem pendidikan barat yang mengajar anak mereka supaya membuang sifat malu.

Namun, dalam bab menuntut ilmu  seharusnya tidak boleh malu. Malah, wanita pada zaman Rasulullah tidak menghalang diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan.

 Malu itu biarlah kena pada tempatnya “Malu bertanya sesat jalan”. Ia menunjukkan, bagi mengeluarkan seseorang dari kejahilan dan kekaburan, jangan malu untuk bertanya dan menimba ilmu.

Rasa malu untuk melakukan kebaikan tidak patut ada di dalam diri manusia kerana Allah menyuruh hambaNya berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Antara dimensi malu ialah:

  • Rasa malu kerana meninggalkan kewajipan (hal yang  fardu dan wajib meliputi semua kewajipan agama).
  • Rasa malu kerana meninggalkan sunnah (hal yang sunnah yang dianjurkan berdasarkan contoh dari Rasulullah).
  • Rasa malu kerana meninggalkan kemuliaan iaitu sifat-sifat yang luhur.
  • Rasa malu kerana melakukan yang dilarang dan hal yang diharamkan dalam syariat Islam.
  • Rasa malu kerana melakukan hal yang melanggar adab dan etika di tengah-tengah masyarakat

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Google translate

Top 5 Web Hosting Terbaik Malaysia